Thursday, 6 November 2014

Mood Malas

Dalam hidup ni..ada satu yang paling kita tak suka..mood malas. Sekali dia datang, apa pun tak boleh jalan. Lihat benda yang sama berulang kali tapi satu pergerakan pun kita tak buat. Melihat..lihat dan terus lihat......




sewaktu bulan mula keluar
pungguk pun mencuri lihat
mencintai bulan dalam diam
tanpa bulan sedari
ada pungguk yang sedang asyik....

*Bulan, pandanglah aku sekali walau hanya lewat ekor matamu

Wednesday, 26 February 2014

Buah Hati Ke 3

......dia yang selalu saya impikan, menyayangi dia sama seperti jatuh cinta, perasaan yang sangat indah, kini saya mekin tenggelam dan terus tenggelam dengan buah hati ke 3.Moga dia terus datang dan datang dan datang. Bersamanya saya hanyut dengan dunia fantasi sendiri, tidak mempedulikan situasi sekeliling, menjaganya dengan sangat prihatin, bimbang salah koma atau titik, hatinya akan terguris lalu merujuk dan tidak mahu muncul lagi.....

kau datang tanpa kusedari, sekejap namun cukup berkesan
ku terus menunggu kau muncul lagi
kerna
kau tak usah dicari
kau akan datang sendiri
menemui aku.

Thursday, 9 January 2014

Misteri

Sepanjang saya berada di ukm untuk semestar ini,kerap kali saya akan deman, dan mengigil serta pada malamnya atau ketika saya terlelap saya terasa ada sesuatu yang berat yang berada di atas saya. Saya terpaksa membaca beberapa surah serta melaungkan nama Allah barulah saya boleh bergerak. Yang anehnya hanya ketika saya berada di sini.

Kadang-kadang semua ubat dan telan tapi deman masih sama, akhirnya saya membuat solat hajat dan membaca surah Yaasin untuk diminum serta mandi. Barulah saya akan sembuh.

Tubuh saya sentiasa lemah ketika berada di sini, apakah bilik yang saya huni tidak selamat atau sememangnya ada misteri.

Walau apa pun yang berlaku
saya serahkan pada yang MAHA MENGETAHUI
sebagai hamba hanya DIA tempat saya bernaung.

Wednesday, 25 December 2013

Yang Selalu Saya Idamkan

Menghadiri kuliah penulisan ilmiah bersama Prof. Ungku Maimunah membuat hati saya berdebar. Sudah lama saya menanam cita-cita menjadi penulis. Tapi masih belum berjaya. Masih saya ingat jika dahulu di persekolahan, jika ditanya apa cita-cita kita, semua sibuk menjawab menjadi doktor, cikgu dan sebagainya namun, saya hanya senyap, mengambil kertas kosong dan menulis perkara yang terlintas di minda.

Waktu itu, saya tidak sedar saya jatuh cinta dengan dunia penulisan, indahnya bermain dengan kata-kata dan membiarkan fikiran bebas berterbangan. Sewaktu menghadiri kuliah Penulisan Kreatif di bawah bimbingan Dr.Mawar dan Dr.Misran, kami ditugaskan untuk menulis cerpen. Dan saya menghasilkan Parasomnia Sang Burung yang diterbitkan dalam Dewan Sastera. Bermula dari situlah saya terus mencintai cerpen dan terus menulis cerpen. Cerpen saya yang kedua, juga telah diterbitkan dalam dewan sastera iaitu Gelandangan.

Sehingga kini saya masih menulis cerpen, cuma tidak dihantar kerana merasakan masih ada yang perlu ditambah dan diperkemaskan. Saya sentiasa mempunyai satu buku yang akan bertindak sebagai tempat saya menyalin segala kata-kata indah yang saya temui sama ada dalam buku, blog, fb dan sebagainya. Telefon juga dijadikan sebagai buku untuk saya menyalin jika buku tersebut tertinggal atau ditinggalkan.


Saya selalu idamkan menjadi penulis
bermain dengan bait kata indah
membawa sejuta makna tafsiran
biarkan saya terus tenggelam dengan apa
yang
saya idamkan.

Tuesday, 17 December 2013

KONSEP TA'DIB: ANALISIS 3 DATA

Untuk tugasan yang terakhir, saya telah memilih artikel yang ditulis oleh Asmaa Mohd Arshad untuk dijadikan sebagai panduan dalam menganalisis tiga data yang saya pilih. Pemilihan data ini adalah untuk melihat sikap generasi kini dan penerapan konsep Ta'dib ini.

DATA 1
Kosmo bertarikh (14/12/2013), hari sabtu yang bertajuk 'Tuhan Harun Didakwa Isnin Ini'.

  • Harun Mat Saat, ketua ajaran sesat yang mengaku sebagai Tuhan
  • Dituduh membunuh Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).
  • Pengikutnya turut didakwa.

Pembunuhan Ahmad Raffli Abd. Malik yang dikatakan menyiasat berkaitan dengan ajaran sesat dan syiah

Melalui artikel di atas, kita dapati apa yang ditulis oleh Asmaa Mohd Arshad iaitu kekeliruan ilmu yang berpunca daripada fahaman asasi Barat yang telah menyelip dalam pendidikan negara. Segala perbuatan yang dilakukan berpandukan kepada ilmu bagi menentukan keputusan yang diambil adalah betul. Jika ilmu pendidikan negara telah diresapi oleh fahaman Barat, maka keputusan yang diambil terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar. Dalam konteks Tuhan Harun ini, sebagai insan biasa yang mengetahui Allah itu hanya satu namun, dia menanggap dirinya sebagai wakil Tuhan untuk menyelamatkan umat manusia. Kekeliruan ilmu yang dipelajarinya menyebabkan dia sudah jauh terpesong.

Melalui artikel ini juga, kita dapati keruntuhan adab yang berlaku dalam kelompok pengikut ajaran sesat. Terdapat ramai pengikut ajaran sesat yang terdiri daripada golongan profesional seperti peguam, doktor dan sebagainya yang menunjukkan golongan yang berpendidikan tinggi. Namun begitu, bagaiman golongan yang berpendidikan ini masih terjerat dengan ajaran sesat dan gagal untuk mengetahui apa yang benar atau salah di mata mereka. Inilah yang dikatakan oleh Asmaa iaitu keruntuhan adab yang tidak didasari oleh ilmu yang benar. Tiadanya penerapan ilmu pengetahuan Islam menyebabkan golongan ini mudah hanyut dan terpengaruh.

Selain itu, kemunculan ajaran sesat ini umpama satu trend atau satu fenomena yang terus muncul. Tidak ada rasa takut dalam kalangan pengamal dan pengikutnya. Umpamanya kes ayah pin satu ketika dahulu sangat menggemparkan negara. http://ayah-pin.blogspot.com/

DATA 2
http://www.malaysiaedition.net/kemaluan-kanak-kanak-di-ikat-dengan-getah-terpaksa-berkhatan/


Aqil Danish Yusri yang terpaksa menjalani pembedahan
DATA 3
mforum.cari.com.my
Kisah Alang dan Fatin yang menjadi muka hadapan harian Metro dan sempat mencetus satu fenomena di facebook dan blog.Heboh memperkatakan tentang pasangan kekasih ini.








Kisah dua orang remaja yang turut memuat naik videonya yang dirakam di sebuah pasaraya tanpa rasa malu.



Analisis yang dilakukan terhadap dua data yang dikumpulkan menjadi satu analisis dengan menggunakan teks Asmaa Mohd Arshad.


  • Konsep pendidikan harus diterapkan terutamanya ta'dib yang berasal daripada perkataan Arab iaitu addaba yang bermaksud mendisiplinkan seseorang dengan adab iaitu perbuatan atau kedudukan diri yang betul dan benar.
  • Insan yang beradab akan menjaga kehormatan dirinya, keluarga, masyarakat dan hubungan dengan Allah. Jika dilihat video atau artikel yang dinyatakan di atas menunjukkan perilaku golongan remaja yang tidak menghormati dirinya sendiri. Tidak ada rasa malu dan sayang kepada dirinya sendiri sehingga sanggup melakukan perbuatan yang jelas salah dari segi agama.
  • Setiap perbuatan yang dilakukan meninggalkan kesan kepada hati, jika sering melakukan perbuatan seperti buli, hubungan bebas, maka hati akan menjadi tidak tenang dan sentiasa memberontak.
  • Oleh itu, penarapan ta'dib dalam sistem pendidikan harus dilakukan supaya generasi yang menjadi pemimpin pada masa hadapan kini tidak melakukan perbuatan yang bercanggah dari segi agama dan budaya.



Jari dituding mencari kesalahan
Apa setiap orangkah yang harus dipersalahkan?
Kita, diri sendiri yang bertanggungjawab
Kita yang harus amanah dalam menjaga diri
kembalilah pada Islam yang sebenar
Bukan hanya sekadar Islam pada nama sahaja.












Tugasan Terakhir



















Monday, 9 December 2013

KONSEP TA'DIB: TERAS FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM

Krisis keruntuhana akhlak dalam kalangan remaja di Malaysia semakin membimbangkan. Pelbagai peristiwa yang berlaku seperti buli, rogol, seks bebas dan sebagainya yang melibatkan mereka. Pelbagai persoalan yang timbul dan punca masalah selalunya dikaitkan dengan ibu bapa, media dan arus globalisasi. Sememangnya perubahan ke arah kemodenan membawa impak yang negatif kepada golongan remaja namun, apakah sisitem pendidikan negara tidak harus dipersalahkan? Kegagalan sisitem pendidikan dalam melahirkan insan yang kuat berhadapan dengan arus globalisasi membuktikan bahawa kita sebenarnya masih terbelenggu dengan penjajahan pada abad ke 21.

Dalam menghadapi permasalahan ini, kita seharusnya kembali kepada pandangan yang pernah disuarakan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas. Beliau menyentuh tentang kekeliruan yang dihadapi dalam sistem pendidikan kini. Kekeliruan yang berlaku ini berpunca daripada falsafah kefahaman Barat (worldview Barat) yang telah menular ke dalam budaya ilmu dan budaya hidup Muslim. Falsafah tamadun Barat ini telah berjaya disuntik ke dalam bidang ilmu kemanusiaan seperti sejarah, ekonomi, sastera dan sebagainya yang mengakibatkan keruntuhan adab dalam kalangan umat Islam. Keruntuhan adab ini berlaku kerana sesuatu keputusan atau tindakan yang diambil adalah berteraskan Barat dan bukannya mengikut acuan pemikiran Islam. Matlamat pendidikan Malaysia khususnya sudah jauh tergelincir apabila konsep pendidikan moden adalah untuk melahirkan tenaga kerja atau industri penjana sumber tenaga manusia. Bukannya bertujuan untuk melahirkan insan yang baik atau insan adabi sebagai khalifah Allah di muka bumi. Falsafah pendidikan negara telah menerima misi pendidikan Barat dan bukannya Islam.

Al-Attas telah membahas isu ini dengan lebih mendalam melalui bukunya yang menyentuh tentang konsep pendidikan yang sebenar dalam Islam. Beliau mengatakan istilah ta'dib berasal daripada kalimah Arab: addaba yu'addibu- ta'dib. Addaba bermaksud mendisiplinkan seseorang dengan adab dan ta'dib pula proses disiplin diri tersebut yang dikenali sebagai proses penyerapan adab ke dalam diri. Adab pula suatu perbuatan atau tindakan yang didasari oleh ilmu yang benar. Insan yang beradab akan menjaga hubungannya dengan insan lain, memakmurkan alam, hubungan dengan pencipta-Nya dan rohani jiwanya. Dalam sebuah hadis Rasulullah sendiri telah menggunakan istilah ta'dib untuk menerangkan didikan Allah yang merupakan sebaik-baik didikan yang diterima oleh Baginda. Al-Quran sebagai sumber ilmu pendidikan Rasulullah sendiri telah mengingatkan umatnya bahawa tujuan Baginda diutuskan adalah untuk menyempurnkan akhlak yang mulia. Lantaran itu, dalam pendidikan Islam tidak seharusnya dipisahkan daripada akhlak dalam membentuk kesempurnaan insan.



Panduan hidup umat manusia.



Tokoh-tokoh seperti Al-Ghazali, Ibn Sina dan sebagainya sependapat dalam mengatakan akhlak sebagai teras pendidikan walaupun mereka berbeza pendapat dan mazhab. Menurut Ibn Sina, seharusnya seawal usia kanak-kanak lagi harus didedahkan dan diterapkan dengan adab-adab yang telah diamalkan oleh baginda Rasulullah. Hal ini supaya hati kanak-kanak yang masih suci itu terus bersih daripada dosa dan proses ini haruslah dilaksanakan secara berterusan sehingga mampu membezakan perkara baik dan buruk.


Oleh itu, penghayatan konsep ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah ini seharusnya tidak terhenti pada peringkat rendah dan menegah sahaja sebaliknya dikuatkuasakan pada peringkat institusi. Walaupun kini terdapat usaha penggubalan tamadun Islam di institusi pengajian tinggi namun, pelaksanaannya hanya sekadar melepaskan batuk di tangga. Keruntuhan akhlak dan sosial yang berlaku pada hari ini merupakan kesan daripada kepincangan penggubalan perlaksanaan ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah di peringkat tertinggi. Insan yang dilahirkan melalui sistem pendidikan negara yang berpandukan Barat, jiwanya mudah rapuh dan goyah sehinggakan mudah terpengaruh dengan perkara yang tidak seharusnya dilakukan. Insan-insan inilah yang kelak akan menggantikan pemimpin yang sedia ada dan meneruskan acuan pendidikan yang berteraskan falsafah Barat.

Pendidikan seharusnya berupaya untuk melahirkan insan adabi atau insan kamil dan bukannya sekdar untuk memenuhi tuntutan pasaran sahaja. Ilmu fardhu ain harus diperkukuhkan supaya insan yang dilahirkan berakhlak mulia sebagaimana perumpamaan ilmu fardhu ain itu adalah makanan bagi roh dan fardhu kifayah adalah makanan bagi jasad. Keduanya harus bergerak seiring, tidak ada gunanya jika sistem pendidikan berjaya melahirkan insan yang hebar di mata dunia tapi dalamannya kosong, rohnya rompong dan mudah terpengaruh dengan ideologi Barat. Teras falsafah pendidkan harus diubaha untuk mengembalikan keagungan umat Muhammad.

Masyarakat luar yang prihatin dengan tulisan Jawi,kita???


Analoginya boleh diibaratkan tulisan jawi yang kini dipinggirkan. Ketika tahun 1990-an sistem tulisan jawi digunakan dalam menjawab soalan peperiksaan namun kini, jawapan boleh ditulis dalam tulisan rumi. Dan dahulu ketika saya berada di darjah 6, kami di ajar menulis jawi tapi sebaik melangkah ke sekolah menengah, kami tidak lagi didedahkan dengan sistem jawi. Akhirnya apa yang kami belajar terkubur begitu sahaja. Tidak ada subjek khusus untuk mengangkat tulisan jawi. Sehingga kini, berapa ramai yang boleh menulis jawi????Hanya golongan yang semakin lanjut usia sahaja, golongan muda-mudi mungkin tidak ada. Hanya sebahagiannya sahaja. Akhbar-akhbar pula tidak menggunakan sisitem tulisan jawi kerana tidak ramai yang menguasainya, siapa yang bersalah dalam hal ini?? Sistem tulisan Barat yang diperkenalkan membawa perubahan dalam sistem tulisan kita.


Sedihnya melihat jati dari yang dipinggirkan
Sastera dan Melayu dipandang sebelah mata
Tingginya martabat bahasa English yang dijulang
Hingga jati diri yang terbuang.