Wednesday, 25 December 2013

Yang Selalu Saya Idamkan

Menghadiri kuliah penulisan ilmiah bersama Prof. Ungku Maimunah membuat hati saya berdebar. Sudah lama saya menanam cita-cita menjadi penulis. Tapi masih belum berjaya. Masih saya ingat jika dahulu di persekolahan, jika ditanya apa cita-cita kita, semua sibuk menjawab menjadi doktor, cikgu dan sebagainya namun, saya hanya senyap, mengambil kertas kosong dan menulis perkara yang terlintas di minda.

Waktu itu, saya tidak sedar saya jatuh cinta dengan dunia penulisan, indahnya bermain dengan kata-kata dan membiarkan fikiran bebas berterbangan. Sewaktu menghadiri kuliah Penulisan Kreatif di bawah bimbingan Dr.Mawar dan Dr.Misran, kami ditugaskan untuk menulis cerpen. Dan saya menghasilkan Parasomnia Sang Burung yang diterbitkan dalam Dewan Sastera. Bermula dari situlah saya terus mencintai cerpen dan terus menulis cerpen. Cerpen saya yang kedua, juga telah diterbitkan dalam dewan sastera iaitu Gelandangan.

Sehingga kini saya masih menulis cerpen, cuma tidak dihantar kerana merasakan masih ada yang perlu ditambah dan diperkemaskan. Saya sentiasa mempunyai satu buku yang akan bertindak sebagai tempat saya menyalin segala kata-kata indah yang saya temui sama ada dalam buku, blog, fb dan sebagainya. Telefon juga dijadikan sebagai buku untuk saya menyalin jika buku tersebut tertinggal atau ditinggalkan.


Saya selalu idamkan menjadi penulis
bermain dengan bait kata indah
membawa sejuta makna tafsiran
biarkan saya terus tenggelam dengan apa
yang
saya idamkan.

No comments:

Post a Comment